Bismillahirrahmanirrahim
Ya Allah.. kurniakanlah aku kesabaran yang kuat dalam membesarkan "Mutiara Hati" ku ini.... amin...
Dalam tak sedar FR sudah pun berusia 1 tahun 5 bulan. Alhamdulillah. Perangai nya amat menguji kesabaran. Terfikir dalam hati.. macamana mak aku besarkan anak2 nya yang seramai 6 orang tu.. Dalam pada tercari2 panduan, terjumpa pula artikel ni yang boleh di jadikan sedikit panduan. Dan untuk mak2 atau ayah2 yang nak menambah ilmu jom ler baca sat....
1. Kanak-kanak dalam lingkungan umur 2-7 tahun memang sering dilabelkan lasak kerana ingin mencuba apa sahaja yang dilihat dan mereka juga didapati ‘tidak dengar kata’. Apa yang berlaku ialah tiada komunikasi dua hala di antara ibu bapa dan anak. Di samping itu kanak-kanak sebenarnya tidak dapat mendengar arahan dengan baik kerana tidak memberikan perhatian kepada suara ibu bapa. Sebaliknya perhatian mereka hanya tertumpu kepada permainan mereka dan alam sekeliling yang ingin diterokai.
2. Kanak-kanak mempunyai komunikasi verbal yang sangat terhad disebabkan mereka tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Mereka juga baru sahaja belajar bercakap, oleh itu ibu bapa tidak dapat memahami apakah sebenarnya yang dimahukan. Maka jadilah anak tersebut menjerit, membaling barang, memusnahkan permainan dan sebagainya lantaran kekecewaan kerana hajatnya tidak difahami dan dipenuhi. Kanak-kanak pun tahu kecewa sebenarnya. Justeru itu siapakah yang bersalah? Sudah tentulah orang dewasa kerana tidak berusaha untuk memahami kehendak si anak.
Ada beberapa tip yang boleh kita sebagai ibu bapa berusaha mengatasi masalah ini :
1. Kanak-kanak sangat memerlukan belaian kasih sayang dan perhatian dari kedua ibu bapa. Sekiranya bapa jarang mendampingi anak, sudah tentulah anak akan mengalihkan perhatian kepada ibunya. Oleh itu cuba fahami bahasa anak dengan bertanya secara lemah lembut kepadanya. Tinggalkan sebentar apa yang anda lakukan dan berikan perhatian kepada anak. Pandang mukanya dan tatap matanya. Berapa kali kah dalam sehari kita bertentang mata dengan anak. Eye contact sangat penting di dalam apa-apa jenis komunikasi walaupun dengan anak kecil.
2. Sebaik sahaja ibu bapa pulang dari bekerja dan mengambil anak dari nurseri, luangkan masa setengah jam terlebih dahulu bersama anak. Jangan terus ke dapur memasak, angkat kain dsb. Berikan perhatian kepada anak. Tanyakan dengan lembut dan mesra apa yang dibuatnya seharian di rumah bersama bibik atau di nurseri/tadika. Dukung dan peluklah dia serta nyatakan di telinganya, papa/mama sangat sayangkannya. Bermain-main dengannya lebih kurang setengah jam, barulah ke dapur dsb. Insya Allah anak akan lebih mendengar kata kerana perhatian yang diharapkannya telah diperolehi.
3. Ajarkan anak dengan perkataan “tunggu sebentar” sekiranya anak perlukan sesuatu dan ibubapa tidak dapat berikannya kerana sedang sibuk. Dan layanilah dia sebaik sahaja berkesempatan. Jangan buat tak tahu sahaja atau bersikap acuh tidak acuh kerana sebenarnya ibu apa sedang mengajar anak agar tidak menghiraukan ibubapanya sekiranya ibubapa pula yang memanggilnya. "The right way to make her listen to you is by listening to her first". Kita tidak boleh mengharapkan anak patuh setiap arahan kita kerana Allah tidak menjadikan ia berlaku demikian. Ingatlah anak belajar dengan meniru setiap perbuatan kita. Buktinya boleh dilihat apabila dia melayani adiknya pula.
4. Cuba fahami personaliti anak. Setiap anak dikurniakan oleh Allah dengan personalitinya yang tersendiri. Anak yang suka menjerit walaupun tidak mempunyai apa-apa sebab boleh dikategorikan sebagai personality Sanguine. Anak ini memang sangat sukakan perhatian. Oleh itu jika anak ini menjerit, berilah perhatian kepadanya seperti memandang ke arahnya, bertepuk tangan sekiranya dia menyanyi dengan kuat dsb. Walau bagaimanapun, ibu bapa boleh mengajarkan kepadanya bahawa perbuatan suka menjerit adalah tidak bagus kerana boleh mengganggu adik kecil yang sedang tidur. Sekiranya anak suka menjerit, ibubapa boleh suruh dia mengadap dinding yang kosong dan menjerit di situ berulangkali sehingga dia letih. Insya Allah dia akan kurang menjerit kerana mendapati aktiviti tersebut memenatkan. Mungkin dia akan berhenti menjerit atau membuat perangai beberapa hari. Sekiranya dia mengulanginya , suruh dia lakukan perkara yang sama sehingga lama kelamaan dia akan berhenti. Berikan dia hadiah (makanan kegemarannya dsb) jika ibu bapa dapati dia tidak menjerit atau semakin kurang menjerit dalam satu hari sebagai positive reinforcement. Katakan padanya, mama beri hadiah coklat kerana sayang tidak menjerit hari ini. Dengan ini anak akan faham bahawa ibubapanya tidak menyukai perbuatan tersebut.
5. Sentiasa ingatkan diri dengan sifat positif anak. Keletah dan karenah anak yang menghiburkan. Tumpukan perhatian terhadap kelebihan tersebut, jangan ingati kekurangan anak dan doakan setiap kali selesai sembahyang agar Allah memudahkan kita mengubah sifat negatifnya. Bayangkan anak dengan semua sifat-sifat positif yang kita inginkan setiap kali ibu bapa berinteraksi dengan anak. Boleh juga ibubapa cuba berbuat demikian setengah jam setelah anak sudah masuk tidur dan nyenyak tidurnya : usapkan dengan lembut di ubun-ubun kepalanya, cium dan bacakan selawat serta sebutkan harapan kita kepadanya. Misalnya ‘mama sayang faris, mama mahu faris tidak menjerit lagi’. Sebutkan perkara spesifik yang ibubapa mahukan. Jangan hanya menyebut ‘mama harap faris berubah’ atau menyebut dengan nada negatif seperti ‘mama tak suka kakak menjerit’. Teknik ini dipanggil imagery atau visualization dan didapati sangat berkesan jika dilakukan berulangkali. Ibu bapa Islam juga boleh membacakan surah AlFatihah, Ayat Kursi dan 3 Kul kepada anak setiap kali mereka masuk tidur untuk memelihara dari gangguan syaitan.
"Mendidik anak tidak mudah apatah lagi di zaman globalisasi yang serba mencabar. Semoga kita sebagai ibubapa lebih bersabar, jangan ignore anak dan cubalah memahaminya. Fahami dunia anak yang tiada masalah, penuh keseronokan dan penerokaan. Bayangkan perasaan anak apabila dimarahi sedangkan apa yang cuba dibuatnya hanya lah meneroka alam sekeliling. Anak-anak hidup dalam dunia yang tiada peraturan. Ibubapa lah yang membuat peraturan, disiplin dan juga galakan kepada anak. Belilah buku-buku tentang panduan mendidik anak, mengenali personaliti anak dan cara-cara menghadapinya."
"Jangan berputus asa dengan anak kerana ini akan membuatkan anak berputus asa terhadap kita sebagai ibubapanya"
Berusahalah... berdoalah... dan bertawakkal lah hanya pada ALLAH...
No comments:
Post a Comment